Pendaftaran Kementerian Kewangan

Pendaftaran Kementerian Kewangan (MOF)

Semua syarikat yang ingin berurus niaga dengan Kerajaan Persekutuan hendaklah berdaftar dengan MOF melalui salah satu akaun berikut :

Akaun Asas

Pendaftaran Akaun Asas ini adalah terpakai kepada syarikat berstatus warganegara Malaysia yang ingin bertransaksi dengan Kerajaan bagi perolehan bernilai sehingga RM20,000 setahun sahaja.

Syarikat/ Perniagaan/ Pertubuhan/ Koperasi/ Persatuan hendaklah berdaftar dengan pihak berkuasa yang berkenaan mengikut peraturan semasa yang berkuatkuasa (contoh : Pendaftaran perniagaan di Sarawak berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri atau Pihak Berkuasa Tempatan).

Bagi pendaftaran individu, dihadkan kepada perkhidmatan tertentu sahaja iaitu pembekalan makanan bermasak Islam/bukan Islam, perkhidmatan membersih dan mencuci bangunan, bidan, penggali kubur, penyewaan sampan dan perkhidmatan alternatif.

Akaun MOF

Pendaftaran Akaun MOF ini adalah terbuka kepada syarikat yang ingin bertransaksi dengan Kerajaan berdasarkan kod bidang pendaftaran tertentu tanpa had nilai.

Syarikat/ Perniagaan/ Pertubuhan/ Koperasi/ Persatuan hendaklah berdaftar dengan pihak berkuasa yang berkenaan mengikut peraturan semasa yang berkuatkuasa (contoh: Pendaftaran perniagaan di Sarawak berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri atau Pihak Berkuasa Tempatan).

Sijil Digital

Sijil digital akan diberikan kepada Pentadbir Pembekal secara percuma untuk tempoh tiga (3) tahun pertama sahaja.

Bagi setiap tambahan pengguna seterusnya dan pembaharuan Sijil Digital akan dikenakan bayaran sebanyak RM120.00 untuk tempoh tiga (3) tahun.

Semua permohonan sijil digital akan disahkan oleh Pihak Berkuasa Pemerakuan selaras dengan Akta Tandatangan Digital 1997. Selepas permohonan sijil digital disahkan, syarikat hendaklah mengambil tindakan seperti berikut :

Menerima emel yang mengandungi pautan untuk menetapkan soalan keselamatan dan no pin Sijil Digital.

Syarikat hendaklah memastikan no pin sijil digital disimpan bagi tujuan transaksi dalam Sistem eP.

Sijil pendaftaran kementerian kewangan

Pendaftaran Akaun MOF

Baharu:

Permohonan Baharu adalah permohonan kali pertama bagi syarikat yang belum pernah berdaftar dengan MOF atau syarikat yang telah dibatalkan secara automatik oleh sistem kerana tidak memperbaharui sijil selepas setahun daripada tarikh luput pendaftaran atau syarikat yang dibatalkan pendaftaran atas permintaan syarikat.

Pembaharuan:

Permohonan Pembaharuan adalah permohonan yang telah berdaftar dengan MOF sama ada masih sah laku atau telah tamat tempoh pendaftaran.

Permohonan ini hendaklah dibuat dalam tempoh tiga (3) bulan sebelum tamat pendaftaran semasa.

Tambah Bidang:

Permohonan Tambah Bidang adalah permohonan untuk menambah bidang bagi syarikat yang telah berdaftar dan masih sah laku.

Tambahan kod bidang tidak akan dipertimbangkan jika dibuat dalam tempoh tiga (3) bulan sebelum tamat tempoh pendaftaran semasa.

Kemas Kini Profil:

Permohonan Kemaskini Profil adalah permohonan untuk membuat perubahan maklumat syarikat secara online seperti pertukaran alamat, pemilik, lembaga pengarah, pengurusan, kakitangan dan sebagainya.

Pembatalan kod bidang / penambahan kod bidang tidak boleh dilakukan melalui kemaskini profil.

Taraf Bumiputera:

Permohonan Taraf Bumiputera adalah permohonan untuk syarikat mendapatkan pengiktirafan taraf Bumiputera.

Permohonan hendaklah dikemukakan selepas syarikat didaftarkan.

Rujukan: Eperolehan