Dalam industri pembinaan, pematuhan kepada syarat pendaftaran bukan sekadar formaliti
tetapi asas kepada kelangsungan perniagaan. Di bawah seliaan CIDB, setiap kontraktor tempatan yang memiliki SPKK perlu memahami syarat am, tanggungjawab serta implikasi jika berlaku pelanggaran.
Syarat am yang ditetapkan adalah jelas tidak boleh dipandang ringan. Perakuan pendaftaran yang dikeluarkan tidak boleh dipindah milik kepada mana-mana pihak lain, walau dalam apa jua keadaan. Ini bermakna amalan “pinjam lesen” adalah satu pelanggaran serius. Pada masa yang sama, CIDB mempunyai kuasa untuk mengkaji semula gred pendaftaran kontraktor dari semasa ke semasa berdasarkan prestasi dan pematuhan syarikat. Ini menunjukkan bahawa status kontraktor bukan sesuatu yang kekal, tetapi perlu dipertahankan melalui rekod kerja yang baik.
Dari sudut tanggungjawab, kontraktor wajib mematuhi semua peruntukan di bawah Akta 520 serta peraturan yang berkaitan. Ini termasuk mematuhi semua syarat tambahan yang mungkin dikenakan oleh CIDB dari semasa ke semasa. Kontraktor juga tidak dibenarkan menyertai mana-mana tender atau melaksanakan kerja pembinaan sekiranya perakuan pendaftaran telah tamat tempoh. Dalam amalan sebenar, masih terdapat kes kontraktor terlepas pandang perkara ini, sedangkan implikasinya boleh membawa kepada tindakan disiplin.
Selain itu, kontraktor tidak boleh mengambil projek yang melebihi had nilai berdasarkan gred pendaftaran atau melaksanakan kerja di luar kategori yang dibenarkan. Setiap projek yang diperoleh juga perlu dilaporkan kepada CIDB dalam tempoh (14 hari) selepas dianugerahkan. Kegagalan berbuat demikian boleh dianggap sebagai ketidakpatuhan terhadap syarat pendaftaran.
Ketelusan turut menjadi keutamaan. Kontraktor perlu bersedia mengemukakan sebarang maklumat yang diminta oleh CIDB pada bila-bila masa. Dari segi pematuhan di tapak pula, perakuan pendaftaran atau salinannya perlu dipamerkan di premis perniagaan, manakala nombor pendaftaran mesti dipaparkan di setiap tapak pembinaan. Ini bukan sahaja memenuhi keperluan peraturan, malah mencerminkan tahap profesionalisme syarikat.
Dalam aspek etika dan tenaga kerja, kontraktor perlu mematuhi Kod Etika Kontraktor CIDB serta memastikan hanya pekerja binaan mahir dan penyelia tapak yang diiktiraf digunakan. Semua pekerja di tapak pembinaan juga wajib memiliki Kad Personel Binaan yang masih sah. Dari segi bahan binaan, hanya produk yang memenuhi piawaian MS (Malaysian Standard) atau standard lain yang diluluskan oleh pihak berkuasa boleh digunakan bagi menjamin kualiti dan keselamatan projek.
Sekiranya berlaku pelanggaran, tindakan tatatertib boleh dikenakan mengikut peraturan yang ditetapkan. Antara situasi yang boleh membawa kepada pembatalan atau penggantungan pendaftaran termasuklah apabila kontraktor diisytiharkan bankrap, syarikat menghadapi penggulungan, gagal mematuhi peraturan, memberikan maklumat palsu semasa pendaftaran, meninggalkan projek tanpa sebab munasabah, atau didapati cuai dalam pelaksanaan kerja sehingga disabitkan oleh mahkamah atau badan penyiasat. Selain itu, sebarang pelanggaran terhadap terma dan syarat yang ditetapkan oleh CIDB juga boleh dikenakan tindakan.
Implikasi daripada tindakan ini adalah besar. Kontraktor yang pendaftarannya digantung atau dibatalkan tidak dibenarkan menyertai tender baharu atau meneruskan projek sedia ada. Walau bagaimanapun, dalam keadaan tertentu, CIDB boleh mempertimbangkan untuk membenarkan kontraktor menyiapkan projek yang sedang berjalan. Apa yang lebih penting, sebarang tindakan tatatertib terhadap Perakuan Pendaftaran Kontraktor (PPK) akan turut menjejaskan status SPKK, sekali gus memberi kesan kepada peluang mendapatkan projek kerajaan pada masa hadapan.
Kesimpulannya, pematuhan kepada syarat pendaftaran bukan sekadar keperluan undang-undang, tetapi merupakan strategi penting untuk memastikan kelangsungan dan reputasi syarikat dalam industri pembinaan. Kontraktor yang berdisiplin dan patuh bukan sahaja dapat mengelakkan tindakan tatatertib, malah lebih dipercayai dan berdaya saing dalam pasaran.